Medium Ilham

"Marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu." al-Imran:64

Wednesday, December 12, 2007

Perginya Musim Kufur

KAMI semuanya berlapan. Aku, ibuku-Ustazah Sawiyah, adik ibuku, Mariah, Kak Maznah dan Suaminya Cikgu Bakri, Ustazah Ain, Cik Azah dan Seorang Tua bernama Mak Cik Atiqah.

“Aid nak ikut?” tanya ibu sekitar empat bulan sebelum tragedi kecil itu terjadi. Nafsuku pantas mengatakan tidak, menyatakan alasan yang wajar.

“Mana mungkin! Kerja-kerja kau sahaja banyak yang belum beres, ingat Aid, penerbit sudah banyak kali pula menghantar mesej, minta kau siapkan novel motivasi yang bakal menyentap semangat anak-anak muda yang khayal lantas berdiri menjadi anak-anak muda yang berhaluan. Nah! Bukankah jihad namanya itu?” Nafsuku berhujah lembut di atas buah fikiran yang diusahakan oleh Syaitan laknatullah. Namun di saat yang sama, akalku yang kuasuh dengan bacaan al-Quran, segera mengkoreksi pertimbangan diri,

“Gila apa kau! Apakah kau tegar membiarkan ibumu seorang diri di tanah haram tanpa muhrim. Ayahmu sudah tiada Aid! Ingat! Hak muhrim terpikul di bahumu selaku anak lelaki! Tanah haram itu asing buat orang-orang kita. Kalau ada apa-apa terjadi ke atas ibumu bagaimana? Kautangisi air mata darah sekalipun, kekesalanmu tidak akan mampu kaubayar sehingga kiamat Allah memberimu nyawa! Dulu kau bekerja dengan penswastaan, dapat cuti tidak? Cuti yang wajib pun kau harus menipu mc untuk pulang. Sekarang kau kerja sendiri, masa di dalam genggamanmu. Ayuh kawan! Raih yang sebaiknya. Berdoa di Multazam, malah minum air zam-zam dari telaga suci yang terpencar dari kaki Ismail as. Itu semua rahmat dan peluang untukmu yang sangat baik,” bisikkan hassanah pula memberikan alasan-alasan yang wajar.

“Macam mana Aid?” pertanyaan ibu membuatkan fikiranku terjejak kembali ke alam yang sahih. Wajah ibu yang telah terpagut usia lebih separuh abad, kuperhalusi. Sehingga ke saat ini, aku masih belum mampu memberikan kebahagiaan buat jiwa ibu. Malahan, dalam banyak perkara, tegar pendirian dan keras kepalaku kerap membuatkan ibu gusar memikirkan aku. Disuruh kerja, aku belajar lagi, disuruh kahwin, malah kataku masih belum cukup wang dan umur. Kesudahannya, ibu kepenatan mahu menanyakan aku tentang perancangan-perancangan besarku. Lalu jadilah ibu seorang wanita penyedih yang menyimpan sengsara batinnya seorang diri. Sudahlah ayah disambut belangsungkawa, abang dan adik-adikku pula tidak pernah gagal membawa berita sedih yang menambah luka di hati ibu. Kerana memikirkan semua inilah, aku tewas pada kehendak ibu yang tak terucap itu. Bila lagi peluangku untuk membahagiakan ibu?

“Yalah, Aid ikut, bila kita nak pergi bu?”

“Empat bulan lagi, kita pergi dengan travel agensi, ya?” pujuk ibu.

Atas janji setujuku itu, ibu lantas sibuk setiap hari, kerana rupa-rupanya, agensi ziarah yang dipilih ibu itu bukannya dari Tabung Haji seperti mana dugaku sebelum ini. Namun soal mengerjakan ziarah dengan bantuan pakej agensi, bukanlah satu perkara baru buat ibu. Kerana itu, barangkali ibu sudah mulai berani mengatur teman-temannya untuk urusan-urusan seperti ziarah, lawatan dan percutian di luar negara. Dan aku tidak pernah membantah, malah dalam pertimbanganku, harus sahaja ibu bercuti ke mana-mana yang dirasakannya sesuai dengan kehendak diri. Penat bekerja tiga puluh tujuh tahun itu sewajarnya mendapat imbalan. Malahan, dalam pertimbanganku, wajar sahaja ibu bercuti ke mana-mana yang dirasakan sesuai dengan kehendak diri. Dan jika dengan berbuat yang demikian, membuatkan ibu bahagia, ya, terserah. Yang pentingnya ceria senyuman di wajah ibu.

Cuma yang membuatkan hatiku sedikit terusik, demi kerana hendak menjayakan perjalanan yang sepuluh orang itu, ibu terkerah ke sana dan ke sini.

“Ibu kau dikudakan agensi!” syaitan mencuba pula dari sudut di situ. Mencuit belasku menjadi geram, lalu geram itu dikipas menjadi amarah. Dan marah itu meletus bila di suatu hari yang terik, sepulangnya ibu dari urusan menemui teman-teman yang akan mengikutinya menjalani umrah, ibu mengadu lenguh di telingaku.

“Ya Allah, sakitnya kaki mak ni, Aid” Ibu mulai mengadukan kakinya yang lenguh dan letih. Ilham menaipku yang lancar mengalir bersama gerakan jari yang bergerak diatas laptop mulai tersangkut-sangkut. Aku diam cuba menumpu, dateline ku, kalau ditolak umrah yang sepuluh hari itu, hanya tinggal seminggu dua.

“Balik dari berjalan kaki ke rumah Mak Cik Atiqah, kaki mak ni sakit-sakit saja.”Aku sudah boleh mengagak akan ke manakah terarahnya perbualan itu. Fikiranku mulai terganggu dengan keluh ibu itu.

“Sudah tahu akan menempah sakit, kenapa diturutkan juga kehendak agensi itu?” kata-kata yang seharusnya kusimpan di dalam minda itu terluncur keluar dari mulutku. Ibu tersentak mendengarnya, aku pula sudah terlajak kata.

“Apa kata Aid?,” nada ibu ada kemarahan. Aku berdiam sehening petang. Menjawab ertinya akan berpanjanganlah perang mulut. Diam sahajalah jawapanku.

“Aid sepatutnya tolong ibu, urutkan kaki ibu ni!”

“Tadi Aid nak hantar dengan kereta tak hendak.”

“Berjalan mengajak orang banyak dapat pahala.” Aku tidak kuasa lagi hendak menegur ibu.

“Lepas tu balik dari berjalan mengadu sakit-sakit!” hatiku menjerit geram. Namun hanya sampai di situ, kalau terluah keluar, pastinya akan menagih air mata ibu. Aku menutup laptop. Tanganku segera mencapai minyak urut dan mulai mengurut kaki ibu. Itulah caraku untuk memohon maaf dan memujuk ibu.

Ujian yang kuterima itu malah sebelum pergi lagi. Ternyata yang menduga bukannya setelah sampai di sana, malah sebelum sampai di sana lagi, dengan penerbangannya, dengan ujian salah faham antara kami dan petugas di tempat di mana kami singgah sebentar dan berbagai lagi. Itu belum lagi di tambah pengalaman menaiki Bimans Air, syarikat penerbangan dari Bangladesh yang diaturkan oleh Agensi. Makanannya, masya-Allah kari sahaja. Mujurlah ibu dan Ustazah Ain ada membawa bekal serunding daging dan rendang. Dapat juga perutku menjamah makanan yang tersedia. Setelah segala ujian itu, kami tiba juga ke Jeddah. Dari Jeddah kami dibawa ke Madinah. Bermulalah segala ujian buat kami di tanah suci itu. Entah mengapa bila tiba di Madinah aku teringin benar hendak menziarahi makam para sahabat dan Nabi saw khususnya. Bagai ada seru halus yang memanggil. Berjalan-jalan di perkuburan Baqiq sebelum menunaikan solat di Masjid Nabawi. Di Masjid Nabawi itu, entah mengapa aku merasa ingin sekali bersolat di kawasan Raudah. Namun bila melihat orang yang bersolat di hadapan Makam Nabi itu bersusun semuanya, aku mengambil jalan yang sabar.

“Bayangkan kalau Nabi masih hidup,” aku cuba-cuba hendak mendidik nafsuku.

“Huh! Kalau Nabi masih hidup, kaulah munafiq yang paling nyata!” Aku tersentak dengan ejekan nafsuku. Kesedaran di dalam diri terlerai menjadi kesedaran yang memedihkan. Air mata lelaki ini membuat pengakuan.

“Benar aku ini munafiq,” aku mengakui kelemahanku itu tanpa sebarang dakwa-dakwi yang menolak kenyataan itu. Aku sedar siapa diriku. Seorang lelaki muslim yang mendakwa mencintai sunnah Nabi, namun pada masa yang sama, masih reda dan santai mendengar lagu-lagu barat yang rosak lagi melalaikan. Aku, seorang lelaki muslim yang mengaku mencintai Allah dan rasulnya namun pada setiap kali Azan berkumandang dan beralun, masih ada bahagian kecil dari hati sintalku yang meminta supaya si muazin itu diam sahaja daripada teriak-teriaknya yang hak. Aku, seorang lelaki muslim yang pernah berjanji bahwa syaitan itu adalah musuhnya yang nombor wahid, masih ada terdetik di dalam hati dan niat yang keji untuk rehat, bercanda malah bercumbu-cumbuan dengan gadis bukan muhrim di Taman Tasik. Masih, dengan dosa hati yang sekeji ini, aku diberi afwah untuk ziarah bertemu Nabi. Keparat apa aku ini? Kalau bukan keparat, seorang anjing munafik!

“Limaza?” seorang Arab Habsyi menanyakan keadaanku yang sedang hanyut dalam penghukuman diri. Melihat aku tersedak-sedak dan tersedu-sedu menahan tangisan membuatkan lelaki itu barangkali hairan yang lagi musykil.

“Mahfi.” Aku berdalih dalam bahasa Arab yang tunggang-langgang. Biarlah derita penghukuman ini ku tanggung seorang diri. Aku membawa langkahku ke hujung lantai yang terjauh ke pintu keluar dari kawasan kaki lima masjid, menghitungkan nasib diriku yang masih tersisih jauh daripada rahmat Tuhan. Aku memekup muka menahan diri, namun apalah upaya seorang pendosa sepertiku.

“Saudara, jangan sekali-kali berputus harap dengan ‘pengertian’ Allah”, seorang lelaki dengan nada dan pelat seorang Indonesia memegang bahuku. Aku segera mendongak memandang wajahnya, namun ternyata sinar mentari yang tegak di atas kepala membuatkan pandangan mataku ternyata di celang cahaya, membuatkan wajah lelaki yang menegurku itu terlindung dalam limpahan cahaya matahari yang memanah mataku.

“Aid,” suara Cikgu Bakri membuatkan aku segera berpaling menghadapi suara itu. Ternyata Cikgu Bakri yang entah dari mana datang menghampiriku dengan berkaki ayam.

“Pinjamkan Cikgu selipar Aid" mohon Cikgu Bakri. Aku memberikannya tanpa mahu bertanya, sudah pastilah, Cikgu Bakri tidak membawa wangnya hari itu. Aku cuba berpaling menghadapi wajah tetamu yang mencuitku tadi sebaik sahaja Cikgu Bakri berlalu pergi namun, nyatalah tiada sesiapa di sisiku. Hatiku berdebar kencang, wah, mungkinkah yang menegurku tadi? Nasihat yang seringkas itu bagaikan satu paluan keinsafan yang menghidupkan keyakinanku untuk kembali mencuba nasib, bersolat di bumi Raudah. Aku segera bangun, lalu menjengah ke sana sini, tiada jejak. Bulu romaku meremang, apakah aku hanya sekadar bermimpi atau adakah aku telah bertemu dengan seorang utusan Tuhan?.

Aku merasakan bagai mendapat satu seru ghaib. Menekadkan azam, aku menghalakan langkahku kakiku kembali ke Masjid Nabawi, berkaki ayam. “Ya Rasulullah saw!, aku datang ke bumi Raudah!, aku datang menyambut jemputanmu.”

Entah mengapa, kali ini, segala-galanya mudah bagiku, sebaik sahaja melangkah masuk dari pintu makam, aku melangkah penuh yakin dan tenang, akan dapat melangkah masuk lalu ke hadapan makam bertemu Rasullullah saw.

Aku nasuha di hadapan Rabuljalil dengan dua rakaat yang kuharapkan dapat menyingkir segala dosa di hatiku. Air mataku mengalir menagih simpati Khaliq yang pengampun. Antara penuh pengharapan ke atas magfirahnya dan jiwa seorang hamba yang asyik dalam kesyukuran. Allah nyata maha mengatur. Sebaik sahaja solatku selesai, seorang lelaki di hadapanku bangkit lalu terbukalah segala jalan bagiku untuk masuk ke lapangan Raudah itu. Malahan, dari bahagian yang paling belakangan, aku mendapat jalan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya dapat kuletakkan jasadku di belakang beberapa orang lelaki yang berbaris di hadapan makamnya Rasullullah. Dan akhirnya tertunailah harapanku bertemu Rasullullah. Namun yang terdaya kulakukan sebaik sahaja berada di hadapan makamnya itu hanyalah menangis yang hiba. Entah mengapa aku terbayangkan diriku seperti Abu Lukluk’ah yang tidak sudi dipandang Rasullullah saw itu.

Aku berkurung di Hotel Warda Muna yang berhadapan dengan Kubah Hijau Rasullullah saw selama dua hari. Ibu hairan melihat aku tidak mahu ke Masjid Nabawi. Kukhabarkan segala yang terbendung di dalam hatiku. Ibu mengesat air matanya. Nyatalah kesedihanku sampai ke hulu hatinya.

“Jangan putus asa dengan rahmat Allah nak. Pergilah, bawalah hati Aid yang ikhlas hendak membaiki diri itu bertemu Rasulullah,” pujuk ibu lembut. Nasihatnya bagaikan sesuci zam-zam yang tidak pernah kering telaganya itu. Dengan tekad yang satu dan bujukan atas keyakinan ibu, aku melangkah semula ke bumi Raudah itu.

“Aku datang ya Rasulullah,” bisik hati kecilku yang hiba. Lantas bila berada di hadapannya. Aku kembali gumam tanpa dapat bicara, aku solat dalam nafas yang patah-patah menahan kebanjiran sebak di dalam jiwa. Aku seorang pendosa, seorang munafik, malah masih diberi izin untuk bertemu Rasulullah.

Aku akhirnya berada di hadapan Rasulullah dan saat itu aku seperti merasakan bahawa aku diberi izin hanya untuk memohon hanya satu permintaan. Mintalah apa sahaja, mintalah, namun hanya ada satu permintaan untukku.

“Ya Allah. Cabutlah segala kufur nikmat daripada dalam diriku dan berilah aku hakikat solat, seperti mana kau memberi hakikat solat kepada para sahabat ajmain,” sebaik sahaja lafaz itu terlontar dari mulutku, aku bagaikan merasa ada sesuatu yang berkisar di dalam hatiku, mengasak keluar dari hatiku langsung terus mendamaikan hatiku yang sebelum ini resah, terhukum, berdosa dan terhina.

Musim kufur pergi.

Musim iman datang. Minta disemai. Pulanglah seorang pendosa ini dengan janji-janjiku kepada Tuhan dan Muhammad saw.

Ya Allah berilah aku kekuatan untuk menunaikan amanahku!

Biodata

AHMAD Zafran bin Abd Mutalib yang dilahirkan pada 6 Oktober 1974, turut memakai nama pena Panaharjuna, Armie Zafran, Jihady, Pena Senopati dan Mat Malaya, pernah memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat lewat cerpen, Cintaku Hanya UntukNya, yang dimuatkan dalam Antologi Annyss Sophillea terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau turut menghasilkan skrip filem dan komik. Sejak menjadikan penulisan kreatif sebagai kerjaya sepenuh masa, Ahmad Zafran berjaya menghasilkan empat novel iaitu 40 Lukisan Hati, Sahabat Kole Kacang, Jibunsyi Disangkar Segala Naif serta Jiwa pendekar, sudah berada di pasaran.


Saturday, July 22, 2006

langkah pahlawan


langkah pahlawan

langkah pahlawan sudah bermula
menyentak kesepian segenap penjuru kota dan desa
menyedarkan mana yang terleka
merobek mana hati yang durjana

langkah pahlawan perlu diteruskan
maruah perlu dipertahankan
keizzahan mesti dipamerkan
biar singa ketakutan
biar helang hilang tujuan
biar merak hilang sanjungan
semut kecil tak betah terus mengerdil
apatah lagi menikus pandir

biar tanah berderap
biar awan bergelap
kini masa untuk berentap
menjulang piala terhormat


salam perjuangan !!

salam perjuangan!!

assalamualaikum...
doa adalah senjata orang mukmin.aplikasikan ia dalam kehidupan harian kita. lidah adalah anggota utama kita untuk berdoa dengan disertai keikhlasan hati dan keyakinan pada Ilahi.apabila ingin merealisasikan doa,lidah adalah rakan kerja yang amat baik.ia adalah metod dakwah dan jua rasa hati yang dipendamkan sekian lama.apabila disentuh aspek dakwah, penulisan adalah satu cara yang baik dari dulu hingga sekarang.jom berdakwah melalui tulisan...